Tuesday, 23 October 2012

KATA PEMERI 'IALAH' DAN 'ADALAH'.


Assalamualaikum w.b.t

Ramai yang sering keliru tentang penggunaan kata pemeri ialah dan adalah. Malahan, saya sendiri sering tersilap dalam menggunakan kata pemeri ialah dan adalah ini. Jadi pada kali ini saya ingin berkongsi tentang penggunaan kata pemeri ini. Saya sering melihat kesalahan penggunaan kata pemeri dalam penulisan mahupun semasa membaca akhbar atau majalah. Hal ini demikian kerana, mungkin di sebabkan oleh kekeliruan kita semasa ingin menulis sesuatu penulisan tersebut.


            Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan dibuat melalui dua cara :
(i)                 Secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif dengan penggunaan kata pemeri ialah. Contohnya ialah:
1.      Warna pinang masak ialah warna rasmi bas sekolah di negara kita.
2.      Bangunan di hadapan sekolah itu ialah pusat belia kampung kami.

(ii)               Secara huraian terhadap subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah. Contohnya ialah:
1.      Taklimat tentang skim jawatan itu adalah terlalu panjang.
2.      Matlamat penyelidikan dan pembangunan kebangsaan adalah untuk kemajuan negara.

Dengan itu, dapat di simpulkan bahawa kata pemeri ialah di gunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama atau kata nama. manakala, kata pemeri adalah pula digunakan untuk menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sebaliknya kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada ialah atau adalah.

No comments:

Post a Comment