Saturday, 6 October 2012

BOLEHKAH ANDA MEMBACANYA ?!



Bila saya terbaca sahaja pernyataan di atas, memang betul apa yang dinyatakan. Otak kita memang boleh membaca pernyataan tersebut walaupun pernyataan tersebut di tulis dengan ejaan yang berteraburan. Malahan, bagi saya walaupun sekali imbas kita melihat ayat-ayat yang ditulis, secara terus kita dapat membacanya. Selain dapat menguji kepantasan otak kita untuk membaca ia juga membolehkan kita menajamkan minda untuk membaca pernyataan tersebut.

Walau bagaimanapun, pernyataan tersebut juga boleh memberi kesan kepada masyarakat kita terutamanya kepada golongan remaja kerana mereka dengan mudah akan terpengaruh dengan ejaan tersebut untuk digunakan dalam penulisan seperti di facebook atau mesej sehariannya. Selain itu, ia juga boleh merosakkan bahasa Melayu kerana tidak menggunakan sistem ejaan yang betul.

Oleh itu, sebagai seorang yang mementingkan penggunaan laras bahasa yang betul, sistem ejaan sebegitu tidak seharusnya digunakan kerana sedikit sebanyak ia boleh mencemarkan nama baik bahasa Melayu.

FACEBOOK OH FACEBOOK!


Petang ini saya telah di tinggalkan seorang di rumah. Semua kawan-kawan saya keluar untuk menghadiri satu majlis di rumah pensyarah saya. Saya tidak mengikutnya kerana saya berasa amat penat kerana telah menghadiri kelas kokurikulum pada hari ini. Tambahan pula, saya perlu menyiapkan tugasan yang perlu di hantar dengan agak segera. Setelah bosan dan kekeringan idea untuk membuat tugasan tersebut. Saya telah membuka dan melayari laman sesawang facebook. Tujuan saya membuka laman sesawang tersebut hanyalah untuk melihat dan membaca status yang di hantarkan oleh kawan-kawan facebook saya.

Kemudian, saya ternampak satu status yang dihantar oleh seorang remaja perempuan yang berumur dalam belasan tahun. Pada mula saya membaca status tersebut, saya kurang jelas dengan pernyataannya dan terpaksa membacanya satu persatu kerana dia menggunakan ejaan yang ringkas dan menyukarkan kepada sesiapa untuk membaca. Status yang dihantar oleh remaja perempuan tersebut ialah :
Oleh itu, dapat saya nyatakan di sini ialah kemungkinan remaja perempuan tersebut menggunakan ayat tersebut untuk menarik perhatian orang agar membaca status yang di hantar atau dia memang sengaja menulis sebegitu untuk ‘mengunikkan’ penggunaan bahasanya. Walaupun, pernyataan yang ditulis tersebut boleh di baca, namun ia telah merosakkan bahasa kita sendiri.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan kepada remaja tersebut sebagai seorang pelajar kerana ia akan mempengaruhi diri remaja tersebut dalam penulisannya kerana sudah terbiasa menggunakan perkataan-perkataan tersebut.


KATA MAJMUK MANTAP


Assalamualaikum w.b.t
Perjalanan saya untuk pulang ke kampung halaman mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang tujuh jam. Seperti kebiasaannya, saya pulang dengan menaiki bas. Disebabkan tempoh yang lama berada di dalam bas membuatkan saya bosan dan untuk menghilangkan perasaan bosan tersebut saya mengambil peluang untuk melihat-lihat pemandangan di sekeliling. Di sepanjang jalan terdapat banyak papan-papan iklan, petunjuk arah dan sebagainya yang diletakkan di sepanjang jalan.

Di sepanjang jalan tersebut, terdapat banyak perkataan yang ditulis di situ. Antaranya ialah lebuh raya, bumiputera, kakitangan, awas jalan sedang dibaiki dan banyak lagi. Namun begitu, saya melihat terdapat kesilapan dalam penggunaan kata majmuk. Kata majmuk seperti lebuh raya ialah ejaannya patut dijarakkan. Namun, apa yang saya lihat ejaan untuk perkataan lebuh raya tersebut di eja bersambung.

                                               kesalahan penggunaan kata majmuk 'lebuh raya'
Menurut buku tatabahasa dewan, hanya terdapat 15 kata majmuk yang telah mantap sahaja. Kata majmuk yang telah mantap tersebut ialah :
1)      Antarabangsa.
2)      Beritahu.
3)      Bumiputera.
4)      Jawatankuasa.
5)      Kakitangan.
6)      Kerjasama.
7)      Olahraga.
8)      Matahari.
9)      Setiausaha.
10)  Sukarela.
11)  Suruhanjaya.
12)  Tandatangan.
13)  Warganegara.
14)  Tanggungjawab.
15)  Pesuruhjaya.

Oleh itu, kita haruslah sentiasa berhati-hati terutamanya pihak yang bertanggungjawab agar mereka dapat mengelakkan daripada berlakunya kesalahan dalam ejaan perkataan atau ayat di papan-papan iklan mahupun papan penunjuk arah.

KOTOK ATAU KOTOQ?


Assalamualaikum w.b.t
Ketika tengah berfikir-fikir mencari idea baru untuk menyiapkan tugasan Sosiolinguistik dalam entri blog saya ini. Tiba-tiba saya teringatkan tentang pertelingkahan kecil yang berlaku di kafeteria kolej saya. Pertelingkahan itu berlaku di antara dua orang pelajar . seorang berasal dari negeri di sebelah Pantai Timur (pelajar A) dan seorang lagi berasal dari negeri sebelah Utara (pelajar B). Pertelingkahan tersebut dapat saya dengar dengan jelas kerana ia berlaku di sebelah meja makan saya.
Situasi yang berlaku pada masa tersebut ialah:

Pelajar A : Alamak, baju aku kena air kotok la.
Pelajar B : Mana baju ko yang kena ayaq kotoq tu?
Pelajar A : Bukan air kotoq la, ni baju aku kena air kotak.
Pelajar B : Ooo… kena air kotak,ingatkan kena ayaq kotoq.

Sebenarnya pertelingkahan tersebut berlaku kerana salah faham di antara mereka berdua tentang makna perkataan tersebut. Hal ini demikian kerana, perkataan tersebut berbunyi agak sama tetapi maknanya yang berbeza disebabkan oleh penggunaan dialek negeri masing-masing.  

PERATURAN HUKUM D-M


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Hai kawan-kawan blog saya semua. Anda sihat? Hari ini saya nak berkongsi dengan anda semua di dalam entri blog saya mengenai peraturan hukum D-M. Kawan-kawan tahu tak apa itu hukum D-M? Hukum D-M ialah (D) iaitu diterangkan dan (M) iaitu menerangkan. Dalam peraturan hukum D-M ini unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Contoh :-
1)      Ahmad Said menjamu tetamunya dengan pisang goreng yang masih panas.     


2)      Kami menaiki bas mini yang berhawa dingin untuk menuju ke destinasi tersebut.
3)      Emak membeli sos cili di Pasar raya Salamku semalam.

Malahan, saya juga sering terdengar orang mengatakan ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya yang sebetulnya ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kepada kata kerja dan merupakan penerang bagi perkataan pisang dalam frasa tersebut. Hal ini demikian kerana, kebanyakkan daripada masyarakat kita memahami dan sesetengahnya menganggapnya betul dan ia telah diterima masyarakat sedangkan dari sudut tatabahasa adalah salah.




Sunday, 30 September 2012

BUDI BAHASA BUDAYA KITA


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia
Dalam entri blog saya pada kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang suatu iklan yang pernah di tayangkan di kaca televisyen tentang budi bahasa budaya kita. Semasa saya berfikir untuk menyiapkan tugasan ini, tiba- tiba saya teringatkan tentang iklan tersebut yang mengisahkan tentang perbualan di antara seorang wanita tua dengan pelajar sekolah di perhentian bas. Iklan tersebut juga ada menunjukkan tentang seorang wanita tua yang bertanyakan tentang anaknya kepada sekumpulan pelajar lelaki. Namun begitu, pelajar tersebut menjawab dengan bahasa yang agak kasar. Namun, pada akhirnya pelajar lelaki terbabit ingin membantu wanita tua tersebut kerana wanita tersebut adalah nenek kepada salah seorang pelajar yang dia minati.

Iklan tersebut dapat memberikan kita pengajaran tentang sikap pelajar lelaki tersebut yang tidak menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Malahan, bahasa yang digunakan oleh pelajar lelaki tersebut juga amat tidak sesuai digunakan jika mahu bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita. Selain itu, iklan tersebut akan memberi impak yang positif kepada penonton kerana akhirnya pelajar lelaki tersebut menyesal di atas perbuatannya melayan wanita tua tersebut dengan kasar.

Kesimpulannya, janganlah kita berbudi bahasa dengan seseorang jika mempunyai kepentingan sahaja. Kita hendaklah sentiasa mengamalkan budi bahasa walau di mana jua kita berada, kerana budi bahasa itu budaya kita.

Sekian, renung-renungkan dan selamat mengamalkan nilai-nilai murni.

BAHASA KITA...


Assalamualaikum dan salam perpaduan
Saya ada satu cerita yang ingin saya kongsikan dengan anda semua pada kali ini. Semasa saya keluar bersama-sama dengan kawan-kawan saya untuk ke pekan dengan menaiki bas, saya ada terdengar perbualan daripada sekumpulan pelajar yang bercakap dengan menggunakan dialek masing-masing. Walaupun kedengaran agak sukar untuk di fahami, namun ia sesuatu yang menarik untuk di kongsikan dengan anda semua.

Perkara yang ingin saya kongsikan ialah tentang penggunaan bahasa dialek yang digunakan dalam percakapan harian dan ia di anggap unik kerana setiap negeri mempunyai dialek masing-masing. Antaranya ialah dialek Perak, dialek Kedah, dialek Perlis, dialek Kelantan, dialek Terengganu dan lain-lain lagi. Saya juga mempunyai ramai kawan yang berasal dari negeri Perak, Kedah dan Perlis.  Dengan itu, saya juga dapat mempelajari dialek dan dapat memahami perbualan mereka jika mereka berbual menggunakan dialek masing-masing.

Di samping itu, penggunaan dialek ini walaupun dianggap unik dan menarik ia juga memberi kesan yang kurang baik kepada golongan pelajar terutamanya pelajar IPTA dan IPTS kerana mereka belajar di lain negeri contohnya seperti di UPSI, Perak. Hal ini demikian kerana, jika mereka sudah terbiasa menggunakan dialek mereka, akan menjadi masalah ketika sesi perbentangan berlaku kerana mereka akan menggunakan dialek mereka. Malahan, ramai rakan-rakan saya yang sering tersasul menggunakan dialek mereka semasa perbentangan berlaku. Perkara ini akan memberi kesan kepada pelajar lain kerana mereka tidak dapat memahami sesetengah perkara yang diperkatakan dan akan menimbulkan salah faham terdapat perkara tersebut.

Contoh dialek Terengganu:
-          “Di sini saya tekangkang bahawa membaca jambatan ilmu” yang bermaksud di sini saya tekankan bahawa membaca jambtan ilmu.
Contoh dialek Perak:
-          “Apabila kita membaca surat khabaq” yang bermaksud apabila kita membaca surat khabar.

Selain itu juga, ia mungkin juga akan memberi kesan kepada diri kita sendiri di masa yang akan datang. Hal ini kerana, bagi saya sebagai seorang bakal guru atau mereka yang akan berkerja dalam bidang yang berkaitan dengan masyarakat perlu menggunakan bahasa yang standard. Perkara ini adalah untuk mengelakkan berlakunya kecelaruan bahasa di samping dapat mengelakkan terjadinya salah faham tentang maksud yang ingin di sampaikan oleh mereka dengan menggunakan dialek masing-masing.

Oleh itu, saya berharap dengan penulisan entri blog ini, mereka yang sering menggunakan dialek mereka dapat mengubahnya semasa berlakunya majlis formal atau aktiviti formal yang memerlukan kita untuk bercakap menggunakan bahasa melayu standard.