Sunday, 30 September 2012

PENGGUNAAN BAHASA SAPAAN

Assalamuaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah saya sudah berjaya menyiapkan entri blog saya yang pertama tentang penggunaan bahasa SMS dalam kehidupan seharian kita pada hari ini. Hari ini saya ingin berkongsi pula tentang penggunaan bahasa sapaan atau panggilan yang sering digunakan sama ada dalam majlis formal atau tidak formal. Bahasa panggilan atau sapaan ialah kata yang digunakan untuk menyapa seseorang.
Di sini terdapat satu lagi penggunaan bahasa pada hari ini yang boleh saya kongsikan dengan anda. Iaitu penggunaan bahasa panggilan atau sapaan. Contohnya seperti panggilan datuk, datin, tuan, puan, encik, cik, abang, kakak. Penggunaan bahasa sapaan ini adalah bertujuan untuk membezakan pangkat atau status seorang. Perkara ini kerap terjadi dan acap kali saya dengar berkaitan panggilan yang tidak sesuai digunakan untuk memanggil seseorang. Contohnya semasa pesta buku yang di adakan di UPSI baru-baru ini saya ada terdengar pelajar memanggil kakak atau abang kepada penjual buku di situ untuk bertanyakan sesuatu kepada mereka.
Seharusnya panggilan tersebut tidak digalakkan untuk digunakan. Hal ini demikian kerana, panggilan tersebut tidak sesuai untuk mereka dan panggilan yang sesuai untuk digunakan ialah panggilan encik atau cik. Manakala, jika kita mengetahui tentang pangkat yang dimiliki oleh mereka, kita seharusnya memanggil dengan pangkat tersebut.
Kata panggilan yang paling kerap digunakan dan dipakai oleh golongan ini ialah panggilan abang dan kakak. Panggilan ini biasanya sesuai digunakan untuk mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita. Namun demikian, panggilan tersebut tidak sesuai digunakan kepada mereka yang bukannya mempunyai hubungan yang erat dengan kita.
Saya sendiri juga sering kali tersasul menggunakan panggilan tersebut ketika membeli atau bertanya sesuatu kepada orang atau penjual. Hal ini demikian kerana, kita telah terbiasa dengan penggunaan panggilan tersebut dan untuk menukarkannya kepada panggilan formal agak sukar untuk di lakukan. Namun begitu, kita seharusnya mencuba untuk memperbaiki diri kita agar dapat menggunakan panggilan formal ini ketika berbual dengan orang yang tidak kita kenali untuk mengelakkan mereka terasa hati dengan panggilan yang diberikan kepada mereka.
Dengan menggunakan sapaan ini jelas menunjukkan rasa hormat kita terhadap seseorang yang lebih berpangkat, berkedudukan dan sebagainya. Justeru, tidak rugi jika kita mempraktikkan penggunaan bahasa sapaan ini dalam kehidupan seharian kita kerana ini akan membantu kita pada masa akan datang terutamanya dalam majlis-majlis formal.

No comments:

Post a Comment