Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Sedang saya terfikir untuk mencari idea untuk menyiapkan tugasan Sosiolinguitik ini, saya ada menonton sebuah filem Melayu yang tengah meletup sekarang ini. Cerita ini yang berkaitan dengan aksi-aksi ganas dan mat motor ini telah menarik perhatian saya untuk menonton filem tersebut. Malahan, dialog yang digunakan dalam filem tersebut juga tidak mencerminkan bahasa sebagai nadi bangsa. Hal ini demikian kerana, bahasa yang digunakan oleh mereka membuat saya terfikir tiga hingga empat kali untuk saya memahami dialog tersebut.
Apa yang ingin saya ketengahkan pada entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan dengan pengaruh bahasa dalam sesebuah filem. Sebagai contohnya:
1) “gua sedang gelak der” yang bermaksud saya sedang gelak la awak.
2) “gua cari laki masyuk” yang bermaksud saya cari lelaki kaya.
3) “lu cakap macam tu, gua pilu siot” yang bermaksud apa yang awak cakap tu buat saya terasa sangat.
Dengan itu, saya beranggapan bahawa dengan menggunakan bahasa tersebut akan membuatkan kita terkeliru dengan maksud yang ingin di sampaikan oleh mereka. Penggunaan bahasa tersebut juga akan memberi kesan dan menjejaskan bahasa ibunda kita sendiri. Malahan, penggunaan bahasa tersebut akan mempengaruhi semua orang terutama sekali kepada golongan remaja yang kita ketahui mudah untuk terpengaruh dengan budaya atau unsur-unsur luar.
Bahasa melambangkan jiwa bangsa. Oleh itu, dengan adanya penggunaan bahasa tersebut yang semakin meluas tentunya akan memberi impak yang buruk terutamanya kepada generasi yang akan datang. Manakala, pihak yang terlibat seperti FINAS juga seharusnya menapis dahulu filem tersebut agar tidak memberi impak yang buruk kepada semua penonton.
Akhir kata, untuk mengelakkan kita daripada terikut-ikut dengan bahasa tersebut, kita seharusnya berfikir dengan positif dan tidak terlalu terpengaruh dengan bahasa daripada filem yang sedemikian.
No comments:
Post a Comment